Pada minggu lepas, saya sempat singgah ke Jalan Pasar yang
terletak di Pudu, Kuala Lumpur ketika selepas solat Jumaat. Bagi yang
tidak mengenali lokasi ini, Jalan Pasar cukup sinonim bagi warga Kuala
Lumpur sebagai ‘syurga’ untuk barangan elektronik. Boleh dikatakan
hampir jumlah besar kedai yang berada di sini kesemuanya menjual
peralatan elektronik. Kebiasaannya, saya akan ke sini untuk mencari
peralatan audio visual.
Selain daripada menjual peralatan elektronik, Jalan Pasar juga turut
sinonim dengan jualan barangan kering yang dijual di kaki lima kedai
lokasi ini. Ada yang menjual beg, pakaian, ubat-ubatan, dan pelbagai
barangan menarik yang untuk dilihat. Cuma pada kali ini, saya tertarik
dengan jualan aksesori telefon yang menjual storan USB yang kita sedia
kenali sebagai ‘pendrive’ dijual dengan harga yang sangat murah.
Ekspresi pertama saya sudah tentu ini
pendrive tiruan. Tidak mungkin
pendrive 128GB boleh didapati dengan harga RM9!
Sebelum ini, saya perasan kehadiran storan tiruan mula dijual secara
meluas di beberapa lokasi utama sekitar Kuala Lumpur terutamanya pada
tahun ini. Sekiranya anda berkunjung ke Bazaar Masjid India, anda pasti
akan perasan kehadiran peniaga yang menjual
pendrive dengan
harga murah terutamanya di hadapan Masjid India itu sendiri. Selain
Masjid India, lokasi popular lain yang turut menjadi sindiket jualan
storan seperti ini boleh didapati di
Pasar Karat Kuala Lumpur, Petaling Street, dan sudah tentu, Jalan Pasar yang saya nyatakan di atas sebelum ini.
Yang menariknya, barangan sebegini dijual secara meluas dan terbuka
kerana rupanya lebih kurang sama dengan storan USB original. Sekiranya
pembeli inginkan bukti bahawa
pendrive tersebut betul-betul mempunyai storan 128GB di dalamnya, si peniaga pasti boleh menunjukkannya.
Storan USB tiruan ini sekiranya ia dipalam pada komputer, ia akan
menunjukkan storan bebas yang sama seperti original. Daripada pandangan
kasar, ia seolah-olah tiada beza dengan storan original malah ia jauh
lebih murah daripada kebiasaannya.
Jadi, Apa Sebenarnya Storan Tiruan Ini?
Storan tiruan merujuk kepada storan kapasiti rendah yang telah
digodam, jadi ia boleh menunjukkan jumlah storan yang lebih besar
daripada yang sepatutnya hadir di dalam storan USB tersebut.
Storan seperti ini akan mengatakan ia mempunyai kapasiti yang telah
diperbesarkan pada sistem operasi, yang mana ia akan memberitahu jumlah
storan yang salah sekiranya kita melihat
properties storan ini.
Storan tiruan boleh beroperasi secara normal pada kapasiti rendahnya
akan tetapi sekiranya ia mencapai tahap kapastiti ‘sebenarnya’,
file di dalamnya akan mula
corrupt dan turut berpotensi menghilangkan data secara besar-besaran.
Sebagai contoh, saya ambil storan USB yang dikatakan dalamnya ada
512GB. Tapi disebabkan ia telah digodam, storan ini hanya mempunyai
kapasiti ‘sebenar’ yang sebesar 16GB sahaja di dalamnya dan bukan
bersaiz 512GB seperti dinyatakan dalam
properties pada komputer.
Secara kasar, storan tiruan juga mempunyai ‘real memory’ di dalamnya
cuma ia tidak menunjukkan hasil storan sebenar sebaliknya menunjukkan
storan palsu yang diperbesar hasil daripada proses godaman.
Apa yang turut membimbangkan, storan microSD turut sama menjadi mangsa tiruan ini.
Bagaimana Untuk Mengenal Pasti Storan Original atau Tiruan?
Perkara paling mudah yang anda boleh bezakan jenis storan ini adalah
dari segi harga dan saiz kapasitinya. Harga storan USB yang murahnya
dalam sekitar 10%, 20%, dan 40% lebih murah daripada harga asal masih
boleh dikatakan original tapi sekiranya ia menjangkau harga 60%, 70%
malah sehingga 90% lebih murah daripada harga sebenar, anda perlu mula
berhati-berhati.
Sebagai
contoh, harga pasaran storan USB bagi kapasiti 128GB adalah sekitar
RM265. Di kedai lain, saya menjumpai harga yang lebih murah daripada
kedai tersebut yang menjualnya dengan harga RM210 sahaja. Kedua-dua ini
masih lagi boleh dikatakan harga
pendrive original kerana ia masih lagi agak mahal. Tapi sekiranya anda menjumpai
pendrive 128GB pada harga serendah RM9, RM15, RM30, inilah yang dikatakan storan palsu.
Perkara lain yang anda boleh lihat adalah dengan mengenal pasti ketelusan
packaging storan ini. Selalunya
packaging storan tiruan hadir dengan tulisan dan
font yang cetakannya agak buruk dan tidak sekemas
packaging
original. Cara ini mungkin agak sukar bagi pengguna biasa kerana bila
dilihat, ia kelihatan lebih kurang sama. Saya sarankan sekiranya anda
membeli storan original, telitikan cara
packaging storan tersebut. Biasakan diri untuk membaca hasil kekemasan
packaging original dan anda akan mula merasa perbezaan apabila memegang
packaging storan tiruan.
Tipu Helah dan Simptom Storan Tiruan
Apabila anda melihat
properties storan tiruan ini, sistem
operasi seperti Windows, OS X dan termasuk Linux sendiri akan
menunjukkan jumlah kapasiti seperti yang dinyatakan pada kotak
pembelian. Melalui pemerhatian ini, ia seolah-olah menunjukkan storan
yang betul dan sebenarnya inilah merupakan kapasiti yang telah digodam
dan bukan jumlah kapasiti yang sebenar pada storan tersebut.
Tipu helah kedua, storan USB ini boleh digunakan sama seperti storan original. Anda boleh gunakan untuk membuat proses
copy dan
paste file ke dalamnya asalkan tidak mencapai storan ‘sebenarnya’.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, storan tiruan akan menunjukkan
simptom apabila data yang dimasukkan melebihi jumlah ‘sebenar’ daripada
apa yang dinyatakan.
Selepas ia mencapai tahap tersebut, data baru yang dimasukkan akan
hilang secara sendirinya. Folder mungkin ada yang tidak terkesan
langsung akan tetapi data di dalamnya akan mula
corrupt (selalunya dalam 0
byte)
apabila ia dibaca semula. Perkara ini mudah dikenal pasti sekiranya
anda cuba untuk membuka file di dalamnya, anda akan dapati gambar,
video, dan dokumen anda rosak dan hilang tanpa diduga.
Simptom lain yang boleh didapati apabila storan jenis ini mula membuat proses
overwriting secara sendirinya yang mana anda akan dapati
root folder pada storan ini menjadi
blank secara tiba-tiba. Ada juga simptom yang mana storan ini menjadi
write protected apabila mencapai had storan sebenar dan ada juga simptom yang mana ia tidak akan menunjukkan sebarang
error sehinggalah storan ini dikeluarkan dan dimasukkan kembali ke dalam komputer.
Bagaimana Untuk Menguji Storan Ini?
Salah satu cara anda boleh menguji storan tiruan ini adalah dengan
meletakkan banyak data di dalamnya. Saya sarankan anda untuk meletakkan
data sekurang-kurangnya 25% daripada kapasiti yang dinyatakan pada
storan tersebut. Storan tiruan akan mula menunjukkan tidak ketulenannya
apabila lebih 25% kapasiti digunakan daripada kapasiti storan asal.
Setelah
anda meletakkan data lebih daripada yang dinyatakan di atas, keluarkan
storan tersebut dan masukkan kembali ke dalam komputer. Sekiranya ada
file yang mula
corrupt atau salah satu
file
di dalamnya secara tiba-tiba mempunyai salinan file yang sama secara
banyak, bermakna storan tersebut adalah dikatakan storan tiruan.
Cara lain yang anda boleh gunakan adalah dengan menggunakan perisian
h2testw yang membolehkan anda melihat jumlah storan sebenar pada storan
yang disyaki tiruan. Cuma melalui cara ini ia mengambil masa yang agak
lama kerana ia akan menjalankan proses kemasukan dan bacaan data yang
sebenar. Storan
generic selalunya mempunyai
writing speed sehingga 3 hingga 12MB per saat dan ini mungkin memakan masa kira-kira 10 hingga 40GB per jam.
Menggunakan perisian h2testw juga mudah yang mana ia hadir dengan antara muka yang ringkas dan
straight-forward
untuk pengguna. Anda hanya perlu memilih ‘target’ iaitu storan yang
ingin diuji kemudian jalankan proses ‘write and verify data’. Sekiranya
ia menunjukkan data
loss yang banyak lebih daripada apa yang dinyatakan, storan tersebut disahkan mempunyai storan palsu di dalamnya.
Inilah sebab mengapa sindiket jualan storan tiruan sukar dibasmi
kerana ia sukar dikenalpasti pada permulaannya dan memerlukan satu
proses yang ‘proper’ seperti di atas yang mengambil masa yang agak lama.
Konklusi
Sekiranya anda terbeli storan seperti ini, anda masih boleh
gunakannya seperti biasa cuma ada beberapa langkah perlu diambil. Saya
sarankan anda jalankan ujian melalui perisian di atas dan kenal pasti
storan sebenarnya. Sekiranya ia menunjukkan storan sebenar sebanyak
128MB, jangan masukkan data di dalamnya lebih daripada kapasiti
tersebut. Jika tidak,
file anda akan mula rosak dan sudah pasti ia mengundang bahaya pada data penting anda.
Perkara ini juga turut memberi jawapan mengapa ada peniaga berani meletakkan harga
pendrive
yang jaraknya hanya RM1 bagi setiap perbezaan saiz seperti gambar yang
berada pada awal artikel ini kerana storan ‘sebenarnya’ adalah sama.
Cuma ia dilabel dengan saiz storan yang lebih besar dan itulah yang
menjadikan ia lebih mahal RM1 berbanding storan 32GB yang dalamnya juga
mempunyai storan ‘sebenar’ sebesar 128MB.
Bagi anda yang membaca artikel ini, saya menyeru untuk memberitahu
keluarga dan rakan-rakan anda mengenai perkara ini. Jangan biarkan virus
epidemik ini terus menular ke tangan orang yang kita sayangi dan jangan
pula kita sendiri tumpas ke tangan storan USB tiruan ini. Sama-samalah
kita membanteras sindiket ini demi kesejahteraan orang di sekeliling
kita dan dunia pengkomputeran sejagat.