Kita Tahu ke pasal Ordinan Darurat? Jom kita Baca apa dia Ordinan Darurat tu.
Bila sudah faham, baru kita mula boleh bercakap.
Dipetik daripada officeboytingkat4http://tingkat4.blogspot.com
Mengambilkira
keadaan semasa yang kian kucar-kacir, kemungkinan ini tidak boleh
dinafikan sama sekali. Pengisytiharan darurat yang akan dilakukan oleh
DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Mizan selaku Yang Di-Pertuan Agong,
adalah jalan terakhir untuk memulihkan semula sistem politik Malaysia
yang kian hari kian parah oleh fitnah.
Darurat bukanlah
sebagaimana pemahaman kebanyakan rakyat bahawa negara di dalam keadaan
huru-hara semata-mata. Ada negara yang mengisytiharkan darurat apabila
berlaku bencana alam ke atas negara berkenaan. Darurat juga mungkin
boleh diisytiharkan jika bibit-bibit huru-hara telah mula kelihatan.
Sebaiknya, saya berpendapat apabila percikan api huru-hara telah mula
kelihatan, DYMM Yang Di-pertuan Agong perlu untuk mengisytiharkan
darurat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil-alih pucuk
pimpinan negara sehingga keadaan dapat dipulihkan seperti sediakala.
Sejujurnya,
kita perlu menyelami keluhan rakyat bawahan. Kebanyakan rakyat telah
hilang keyakinan dengan keadaan yang berlaku di dalam negara sekarang.
Sistem pemerintahan telah hilang keupayaan sebenar untuk membuat
urustadbir yang sempurna bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang kian
terhimpit dan sentiasa keluh kesah oleh perasaan takut hasil daripada
senario politik masa kini.
Dari satu segi, ada baiknya darurat
diisytiharkan di mana secara tidak langsung DYMM Yang Di-Pertuan Agong
sebagai Field Marshal ATM akan mengambil-alih pemerintahan negara
sehinggalah pemulihan iklim politik dapat dilaksanakan. Begitu juga
dengan mekanisme kerajaan yang lain seperti PDRM dan Jabatan Peguam
Negara yang sejak akhir-akhir ini sering kali dipertikaikan
kredibilitinya. Dua jabatan ini, jika darurat diisytiharkan, dapat
dipulihkan semula secara menyeluruh supaya kredibiliti jabatan ini
mendapat kepercayaan rakyat semula.
DYMM Yang Di-Pertuan Agong
sebagai Raja Berpelembagaan yang memegang kuasa ketenteraan perlu
memastikan rakyat Baginda sentiasa terpelihara dari perasaan keluh kesah
dan ketakutan yang terhasil daripada sikap tamak dan haloba segolongan
pemimpin politik. Telah kelihatan dengan nyatanya, segolongan pemimpin
politik ini telah hilang segala kewarasan mereka demi mempertahankan
tampuk kekuasaan mereka sehingga sanggup mengenepikan kesejahteraan
rakyat.
Jangan biarkan nyawa rakyat hilang disebabkan percaturan
politik. Cegah ini dari berlaku demi memastikan rakyat sentiasa hidup di
dalam keadaan aman dan tenteram.
Jika hanya dengan
pengisytiharan darurat dapat menjamin kesejahteraan rakyat, lakukan ia
dengan segera. Saya berkeyakinan DYMM Yang Di-Pertuan Agong mempunyai
kemampuan untuk mentadbir tanpa di pengaruhi oleh mana-mana pihak yang
berkepentingan. Mungkin Majlis Raja-Raja dapat menasihati DYMM Yang
Di-Pertuan Agong sewaktu darurat. - posted by OfficeBoyTingkat4 @ Friday, July 04, 2008.
Maklumat selanjutnya pasal Darurat:-
(1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar
sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi,
atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya
terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi
Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud
sedemikian.
(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh
dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam
keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam
Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong
berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.
(2A)
Kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perkara ini
termasuklah kuasa untuk mengeluarkan Proklamasi-Proklamasi yang
berlainan atas alasan-alasan yang berlainan atau dalam hal-hal keadaan
yang berlainan, sama ada suatu Proklamasi atau Proklamasi-Proklamasi
telah dikeluarkan atau tidak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal
(1) dan Proklamasi atau Proklamasi-Proklamasi itu sedang berkuat kuasa.
(2B)
Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat
kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang
serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan
tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta,
maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan
sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.
(2C)
Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah
mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan
hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah
ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau
diungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah
Fasal (7); dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan ordinan di
bawah Fasal (2B) boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara
mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan
tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau
perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana
satu Majlis Parlimen.
(3) Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan
yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan
kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan,
hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh
kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi
tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa
Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan
Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau
memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).
(4) Semasa
Proklamasi Darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah,
walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, meliputi apa-apa
perkara dalam kuasa perundangan sesuatu Negeri dan pemberian arahan
kepada Kerajaan sesuatu Negeri atau kepada mana-mana pegawai atau pihak
berkuasa Negeri itu.
(5) Tertakluk kepada Fasal (6A), semasa
Proklamasi Darurat berkuat kuasa, Parlimen boleh, walau apa pun apa-apa
jua dalam Perlembagaan ini, membuat undang-undang mengenai apa-apa
perkara, jika didapati oleh Parlimen bahawa undang-undang itu
dikehendaki oleh sebab darurat itu; dan Perkara 79 tidaklah terpakai
bagi suatu Rang Undang-Undang untuk sesuatu undang-undang yang
sedemikian atau bagi sesuatu pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang
yang sedemikian, dan juga tidaklah terpakai mana-mana peruntukan
Perlembagaan ini atau peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang
menghendaki apa-apa keizinan atau persetujuan bagi meluluskan sesuatu
undang-undang atau apa-apa rundingan mengenainya atau yang menyekat
permulaan kuat kuasa sesuatu undang-undang selepas undang-undang itu
diluluskan atau yang menyekat Rang Undang-Undang daripada dipersembahkan
kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya.
(6)
Tertakluk kepada Fasal (6A), tiada peruntukan mana-mana ordinan yang
dimasyhurkan di bawah Perkara ini, dan tiada peruntukan mana-mana Akta
Parlimen yang diluluskan semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa dan
yang mengisytiharkan bahawa didapati oleh Parlimen undang-undang itu
dikehendaki oleh sebab darurat, boleh menjadi tidak sah atas alasan
ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini. (6A)
Fasal (5) tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara
hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara
undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan
juga Fasal (6) tidak boleh menjadikan sah mana-mana peruntukan yang
tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan ini yang berhubungan dengan
apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama,
kewarganegaraan, atau bahasa.
(7) Apabila habis tempoh enam bulan
yang bermula dengan tarikh sesuatu Proklamasi Darurat terhenti berkuat
kuasa, apa-apa ordinan yang dimasyhurkan menurut Proklamasi itu dan,
setakat yang undang-undang itu tidak dapat dibuat dengan sahnya jika
tidak kerana Perkara ini, apa-apa undang-undang yang dibuat semasa
Proklamasi itu berkuat kuasa, hendaklah terhenti berkuat kuasa, kecuali
tentang perkara-perkara yang telah dilakukan atau ditinggalkan daripada
dilakukan sebelum habis tempoh itu.
(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini -
(a)
hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan
Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau
dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan
(b)
tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau
memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua
bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan –
(i) sesuatu
Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat
dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal
(1);
(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;
(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau
(9)
Bagi maksud Perkara ini Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai
bersidang hanya jika ahli setiap Majlis itu masing-masingnya berhimpun
bersama dan menjalankan urusan Majlis itu.