KAWALAN PEROSAK JAMBU BATU DAN JAMBU AIR MADU :
- Nematod (Meloidogyne incognita)
Pokok-pokok yang diserang kelihatan tidak segar dan terbantut. Kanopi pokok menjadi jarang dan daun-daun menjadi kekuningan. Buah menjadi kecil, mencapai kematangan dalam masa yang singkat dan warnanya kelihatan pudar. Kulit batang tidak mengelupas. Pemeriksaan sistem akar menunjukkan akar menjadi bengkak dan berubah warna. Serangan yang teruk, menjadikan akar tunjang dan akar sisi akan kelihatan bengkak dan pecah-pecah. Tabur racun seperti carbofuran atau fenamiphos dan guna bahan tanaman yang bebas daripada nematod, khasnya dalam penyediaan anak benih dan tanah yang digunakan dalam beg potena perlu steril.
- Lalat Buah (Bactrocera dorsalis)
Larva mengorek ke dalam isi buah dan menyebabkan kerosakan. Kutip buah-buah yang kena serang dan tanam dalam tanah, balut buah-buah muda dengan beg kertas, sembur setempat dengan umpan protien seperti promar yang dicampur dengan malathion. Sembur 40 ml campuran promar pada tiap-tiap pokok dan ulangi semburan lima hari sekali dari peringkat berputik hingga buah dipetik. Perangkap lalat buah jantan dengan mengumpan dengan pemikat methyl eugenol.
- Kutu Trip (Selenothrips rubrocintus, Scirtothrips dorsalis)
Perosak ini biasanya merosakkan lapisan permukaan buah dan meninggalkan kesan calar dan bersinar. Serangan menjadi serius pada musim kemarau dan di kawasan yang baru ditanam. Semburan liputan secara menyeluruh perlu dilakukan apabila terdapat kesan serangan. Racun-racun seperti bendiocarb dan biomopropylate adalah berkesan.
- Kepinding Nyamuk (Helopeltis theobromae)
Serangan menyebabkan luka yang kecil, berwarna hitam dan bentuknya berubah mengikut masa. Serangan pada buah menyebabkan luka berlekuk ataupun keruping berkarat. Pucuk muda yang diserang akan menjadi layu dan mati. Lakukan pemangkasan dan sembur racun seperti deltamethrin dan cupermethrin.
- Koya-koya (Ferisiana virgata, Pseudococcus citriculus dan Planacoccus paciffus)
Serangga pada peringkat dewasa dan peringkat nimfa menghisap cairan pokok dan jika populasinya tinggi, pertumbuhan kulapuk hitam akan berlaku dan seterusnya mengurangkan mutu buah. Sembur campuran minyak putih dan racun serangga dan kawal semut yang memakan manisan dengan menyembur cypermethrin pada batang dan bahagian pangkal pokok.
- Bena Putih (Aleurotuberculatus canangae,
A. Cheracensis, A.psidii, A. dispersu, dialeurodes psidii)
Bena putih dewasa dan nimfa menghisap cairan pokok, khasnya dibawah permukaan daun dan mengeluarkan manisan yang mengakibatkan kulapuk hitam. Sembur dengan racun seperti deltamethrin dan permethrin .
- Ulat Pemakan Daun (Attacus atlas, Odenestis vita sp,
Spilonota sp, Strepsicrates spp.)
Ulat ini membuat sarang pada daun yang belum terbuka dan merosakkan daun dan pucuk muda. Sembur racun serangga seperti cypermethrin, permethrin dan trichlorphon sekiranya serangan serius. Semburan mingguan disyorkan untuk mencapai kawalan yang berkesan.
- Penyakit Keruping Buah - Scab (Pestalotiopsis psdii)
Bermula dengan bintik-bintik kecil dan membesar menjadi tompok sebesar 1-3 mm, berbentuk bulat dan berwarna perang kehitaman. Apabila buah membesar, bahagian epidermis buah di sekeliling keruping akan terkoyak dan timbul manakala bahagian tengahnya menjadi lekuk. Gunakan racun kulat yang mengandungi kuprum atau zink.
- Reput Akar dan Pangkal (Phythophthora nicotianae)
Batang dan akar menjadi reput. Batang mengeluarkan damar, daun kekuningan dan gugur. Guna pokok peranti yang rintang. Kikis bahagian kulit dan sapu racun kulat seperti meta laxyl atau fosetyl aluminium dan guankan saliran yang baik.
- Penyakit Stylar - End Ring Rot (Phomopsis psidii Nag Raj & Ponnapa)
Bermula dengan bintik-bintik nektrorik di sebelah bawah buah kerana spora-spora dibawa turun oleh air hujan. Bintik-bintik menjadi hitam, membesar dan bercantum dengan melingkari buah hingga boleh merebak ke dalam buah dan ke bahagian biji. Sembur dengan racun kulat perlu dilakukan sebelum pembungkusan buah dijalankan. Amalkan pembersihan ladang untuk mengurangkan sumber penyakit dan kelembapan yang tinggi.
No comments:
Post a Comment