Thursday, July 9, 2015

TERPISAH-Petikan FB

Ketika aku melihat dan menyaksikan hari pendaftaran anak-anak kita di hari pertama persekolahan, aku cuba mengingatkan kembali saat aku mula menjejakkan kaki ke bilik darjah. Namun kenangan itu tiada, yang ada hanyalah ingatan aku berada di Darjah 3,dan yang amat aku terasa sangat adalah ketika di tingkatan 1 di sekolah menengah sekolah baru ku. Yang aku ingat, aku turun dari bas berwarna biru SKMK dan terus ke kantin sekolah dan membuat pendaftaran di sekolah berkenaan.
Ketika itu pakaian seragam kami berbaju putih dan berseluar pendek putih, Kasut kanvas juga putih berstokin juga putih. Aku,5 sen  Cukup semuanya.Cuma kasut aku lain sedikit, tak macam kawan lain yang kebanyakannya BATA dalam Kotak. Manakala aku, Kasut cap harimau dalam plastik nipis, tapi bolehlah , yang penting adalah ke sekolah.
Masa aku di tingkatan satu, Mak berikan wang belabja sebanyak 20 sen. 10 sen untuk tambang bas pergi balik dan 10 sen untuk belanja makan di kantin. Ketika itu makanan murah, nasi belauk kalau lauk ikan hanya 5 sen sahaja. 5 sen untuk belikan minuman (rupanya harga minuman dan nasi sama ya, baru sedar). Kadang aku terlajak belanja, memilih untuk makan lebih, aku belanjakan 15 sen untuk makanan, minuman air paip sahaja. Atau aku simpan dan belanjakan untuk esok hari.
Lama-kelamaan aku mencari jalan , bagaimana untuk makan lebih sedap dan dapat minum setiap hari secara percuma. Lalu aku menemui pemajak kantin sekolah untuk meminta pekerjaan sebagai juru jual makanan di kantin.Akhirnya aku diterima, makan 3 kali sehari. Pagi, waktu rehat dan tengahari. Aku setuju dan aku mulai jadi pembantu jualan di kantin sekolah. Alhamdulillah, dapatlah aku makan dan minum dengan sempurna. Dan pada akhir bulan, pemajak kantin menghulurkan sedikit sumbangan tak banyak dalam rm6.00. Sejak dari itu juga aku tidak lagi meminta wang belanja dari kedua orang tua aku. Kalau mereka beri aku ambil, kalau tidak pun tidak mengapa.
Ketika di tingkatan satu, aku berada di kelas ke empat (Tiong ).Namun aku sentiasa perolehi tempat pertama dalam setiap ujian,manakala cemerlang dalam matapelajaran sains Moden. Apabila naik ke tingkatan 2 aku dapat langkau 1 kelas dan ke kelas yang kedua iaitu kelas merak,kelas ketiga adalah Serindit dan Bayan merupakan kelas yang pertama.
Ketika berada di tingkatan 2, hidup aku agak sukar, kerana aku tidak lagi membantu penjualan dikantin sekolah. Kerana pemajaknya bertukar tangan. Ketika di tingkatan 2  ini lah aku ditinggalkan oleh orang tua aku. Ayah aku masih lagi bertugas di Kota bharu.Hidup kami agar sukar ketika ini, ayah hanya akan balik seminggu sekali selepas meninggalkan sedikit belanja kepada kami, dia balik ke Besut. Tinggal kami berempat di rumah hidup dalam serba kekurangan.Aku masih lagi bersekolah petang. Belanja yang tidak mencukupi itu membuatkan kami terpaksa berjimat cermat. Buku-buku jangan harap lah kami dapat beli. Dan banyak menggunakan buku-buku tahun lepas. Alat tulis pun sama, hingga aku terpaksa berikhtiar membuat pensil aku sendiri iaitu dengan menggunakan raksa pensel yang lama dan pendek aku sambungkan di dalam sebatang kayu yang mempunyai lubang di tengah-tengah.
Ketika orang lain mengalas beg kesekolah, aku tidak. Aku mengumpulkan kotak di kedai runcit, lipas dan balut dijadikan Fail untuk aku masukkan segala alat tulis dan buku-buku aku. Hanya aku yang bawa fail.Untuk mengelakkan fail terburai aku gunakan getak yang digunakan oleh posmen mengikat surat untuk dijadikan pengikat.
Setiap pagi aku akan ke sungai untuk menangkap udang di sungai untuk aku rebus dan dijadikan bekalan untuk ke sekolah. Masa dapat alhamdulillah, jika tidak dapat aku kutip sayur kangkong yang aku tanam dan aku masak sendiri di jadikan sayur air dan itulah lauk aku hari itu.
Untuk menampah pendapatan aku sendiri, aku mengumpul cili burung,mungkin seminggu baru dapat aku jual dan di jadikan wang belanja tambang bas ke sekolah. kalau tidak aku menumpang basikal kawan aku ketika pergi kesekolah dan balik kadang terpaksa balik berjalan kaki, sekolah tidak lah jauh sangat dalam 6km dari rumah aku.
Di kampung aku ada pasar dimana dalam seminggu kedai ini akan menjual sayur-sayur dan ikan.Masa ini akau akan ke rumah jiran dan meminta kalau-kalau ada sayur nak dijual. Jika ada, maka adalah pendapatan aku esok. Biasanya aku jual ubi keledek, kacang bendi dan Cili Burung.
Aku tidak mempunyai pakaian yang sempurna,hanya seluar pendek yang aku gunakan di sekolah, pakaian itu jugalah yang aku pakai seharian. Hingga ada makcik tegor aku sebab pakaian tak menutup aurat katanya, nampak kepala lutut.
Poket seluar endek aku dah tidak boleh digunakan lagi,dah koyak hingga menampakkan kulit paha aku, terpaksa aku jahit sendiri dengan tidak berpoket. Masih ingat lagi seorang guru pendidikan seni aku bertanya kepadaku "Seluar dalam macam kulit ya Rosnan?" . Aku tersipu2 malu. Yang paling aku tak suka kalau aku bertugas untuk memadamkan papan hijau. Aku tidak mempunyai seluar dalam, kalau burung aku bangun..amat sukar aku nak melakukan tugas itu.Apa lagi kalau dipanggil guru untuk berbaris di depan kelas kalau tidak menyiapkan kerja sekolah.Nasib baik aku tidak di panggil. Cuma kalau waktu balik sekolah, kalau burung itu bangun, maka fail akulah sebagai pelindung agar tidak ketara dilihat.Ya, nak buat macamana hidup aku amat sukar. Menjadikan aku kuat untuk belajar.
Pernah sekali aku tersangat lapar, hingga aku terpaksa menggali pokok keladi untuk mendapatkan ubi nya. Bukan kira sangat ubi keladi apa, asalkan dapat untuk aku mengisi perut aku. Akibatnya bila ayahku balik, aku kena sebat kerana merosakkan pokok keladi yang memang tak ada isi,orang makan batang.Aku mana tahu. Merah belikat aku kena sebat dengan talipinggan askar wataniah ayahku.
Kadang kami terpaksa makan lempeng sahaja, kerana tidak mampu membeli beras. Ikan pula jangan harap kami dapat makan ikan sedap, biasanya ikan selayang. Sayur daun ubi kayu masak cili padi. Hari-hari itulah resipi kami.
Aku rajin mencari sayur dalam hutan, pucuk miding,pucuk ubi kayu,rebung dan pokok-pokok hutan yang aku tahu boleh di makan.Kadang nasib baik dapat kumpul kulat busut (Kulat pusu). masa inilah aku belajar makan ulam saperti jering relong (Jering yang tumbuh berakar). Jering Muda dan sebaginya.
Kisah silam bila diingat kepayahan hidup membuatkan aku bertambah kuat.

No comments:

Post a Comment